Berita Politik

Berita Politik   |   August 17, 2021

Taliban tawan ibu kota Afghanistan

Taliban tawan ibu kota Afghanistan

Taliban telah memasuki ibu kota Afghanistan, Kabul pada Ahad (hari ini), menurut seorang pegawai kementerian dalam negeri, sementara Amerika Syarikat membawa keluar diplomatnya daripada kedutaan menaiki helikopter.

Pegawai kanan itu memberitahu Reuters bahawa Taliban masuk dari “semua arah” tetapi tidak memberikan perincian lanjut.

Bagaimanapun, tiada pertempuran dilaporkan.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata dalam kenyataan bahawa kumpulan itu sedang dalam perbincangan dengan kerajaan untuk pengambilalihan Kabul secara aman.

Ia merupakan kemaraan pantas oleh Taliban, yang 20 tahun lalu disingkirkan oleh Amerika Syarikat (AS) selepas serangan 11 September.

Keruntuhan pertahanan kerajaan Afghanistan mengejutkan diplomat – minggu lalu, perisikan AS menjangka Kabul boleh bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Pejuang Taliban dalam keadaan bersedia di semua pintu masuk Kabul sehingga peralihan kuasa memuaskan dan aman dipersetujui,” menurut kenyataan jurucakap itu.

Menurut penduduk, jalan-jalan di Kabul dipenuhi kereta dan orang ramai bergegas sama ada untuk pulang ke rumah atau mahu ke lapangan terbang.

“Sesetengah orang tinggalkan kunci di dalam kereta dan mula berjalan ke lapangan terbang,” kata seorang penduduk kepada Reuters menerusi panggilan telefon.

“Orang ramai semua pulang ke rumah kerana takut (jika ada) pertempuran,” kata seorang lagi penduduk.

Semakin banyak pasukan ketenteraan AS dihantar untuk membantu mengeluarkan diplomat dari kedutaan di daerah Wazir Akbar Khan ke lapangan terbang menaiki helikopter, selepas Taliban berjaya menawan Kabul dalam masa beberapa hari.

Terdahulu pada Ahad, Taliban menawan Jalalabad di timur tanpa pertempuran, memberi mereka kawalan ke atas salah satu lebuh raya utama ke Afghanistan.

Mereka turut menawan Torkham di sekitar situ, iaitu pos sempadan dengan Pakistan. Ini menjadikan lapangan terbang Kabul satu-satunya jalan keluar daripada Afghanistan yang masih dalam kawalan kerajaan.

Sebelum Jalalabad, Taliban turut menawan Mazar-i-Sharif pada Sabtu, juga dengan hanya sedikit pertempuran.

Tiada pertempuran berlaku di Jalalabad kerana gabenor menyerah diri kepada Taliban. “Membenarkan Taliban masuk adalah satu-satunya cara menyelamatkan nyawa rakyat,” kata pegawai Afghanistan kepada di Jalalabad kepada Reuters.

Dalam satu kenyataan pada lewat Sabtu, Taliban berkata penaklukan pantasnya itu menunjukkan yang ia diterima oleh rakyat Afghanistan dan memberi jaminan warganegara dan warga asing bahawa mereka akan selamat.