Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) baru-baru ini dihujani kritikan apabila warganet mendapati nama mereka telah didaftarkan menjadi ahli Rela tanpa pengetahuan mereka.
Mereka memeriksa status keahlian di laman web Rela. Dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan (IC), mereka dapat memeriksa nombor keahlian dan kod platun yang terpapar di laman web berkenaan. Bagaimanapun, halaman itu kini sedang dalam penyelenggaraan ekoran isu yang tercetus.
Tanpa perlu mengesahkan identiti pengguna, ia jalan yang mudah buat orang ramai memeriksa status keahlian mereka dan turut boleh membantu sanak-saudara atau rakan taulan mereka berbuat demikian.
Bagaimanapun, adakah ini bermakna orang lain juga turut bebas mengakses data peribadi anda sekiranya mereka tahu nombor IC anda? Adakah ini dikira pelanggaran privasi?
Pada masa sama, berapa banyak lagi laman web kerajaan yang secara tidak langsung mendedahkan data peribadi anda dengan meminta nombor IC untuk membenarkan akses?
Data terbuka memudahkan akses awam
Di Malaysia, tidaklah sukar untuk mendapatkan nombor IC seseorang memandangkan maklumat itu diperlukan oleh begitu banyak borang yang dikeluarkan sektor awam mahupun swasta. Ia bahkan mungkin tertera pada pas kerja sesebuah syarikat. Sekarang, penghantar barang juga meminta nombor IC untuk mengesahkan identiti penerima barang.
Peguam Chan Shao Kang memberitahu Malaysiakini, nombor IC pengarah syarikat pun boleh diperoleh dengan mudah menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Di Malaysia, nombor IC tidaklah sepenuhnya sulit. Secara teori, sesiapa pun boleh mendapatkan nombor IC kita dan menggunakannya untuk memeriksa laman web kerajaan dan mengakses maklumat kita.”
Bagaimanapun, Chan percaya kebolehan untuk memeriksa maklumat peribadi secara bebas dengan hanya menggunakan nombor IC, adalah ciri yang memudahkan, memandangkan pengguna tidak perlu mencipta atau mendaftar akaun, atau perlu untuk mengingati pelbagai macam nama pengguna dan kata laluan.
Seorang lagi peguam, Foong Cheng Leong berkata, pendirian kerajaan berhubung perkara itu nampaknya adalah untuk membenarkan akses bebas kepada data orang lain untuk tujuan tertentu, berdasarkan data peribadi yang disiarkan di laman-laman web kerajaan.
“Contohnya saman trafik, pihak bank atau pembeli kereta terpakai boleh memeriksa sama ada sesebuah kenderaan itu ada saman tertunggak atau tidak,” katanya.
Kata Foong, yang merupakan bekas pengerusi bersama Jawatankuasa Ad Hoc Majlis Peguam tentang perlindungan data peribadi (2013-2016), banyak syarikat turut bergantung kepada maklumat awam di laman-laman web berkenaan untuk membuat kerja mereka.
Contohnya, seorang peguam boleh mengesahkan sama ada nama dan nombor IC seseorang itu benar atau pun tidak.
“Laman web data terbuka memudahkan orang awam dan syarikat – mereka boleh dapatkan maklumat tanpa kertas kerja, tanpa perlu bersusah payah dan membayar untuk memohon secara bertulis kepada jabatan berkaitan, yang selalunya memakan masa. Ini dapat menjimatkan masa agensi kerajaan untuk membuat kerja lain,” katanya.
Berkenaan jenis data peribadi apakah yang wajar menjadi data awam yang boleh diakses di laman-laman web kerajaan, kata Chan, ia bukan soal jenis maklumat, tetapi untuk tujuan apa maklumat tersebut digunakan.
“Contohnya, dalam perniagaan dan kes mahkamah, banyak data peribadi perlulah (boleh diakses secara) terbuka untuk melindungi hak mendapatkan maklumat, menegakkan prinsip keterbukaan dan ketelusan, serta pengurusan pihak berkuasa awam.
“Untuk hal yang tidak berkaitan dengan kepentingan awam, seperti saman trafik peribadi, anda boleh pertimbangkan untuk menjadikannya tidak boleh diakses secara terbuka,” jelasnya.
Data terbuka untuk pemantauan awam
Laman web data terbuka turut memudahkan orang awam dan media untuk memantau dasar kerajaan dan isu-isu awam yang lain.
Contohnya, sebelum ini didedahkan bahawa Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, “lulus” untuk menerima RM800 di bawah program Bantuan Prihatin Nasional (BPN) pada 2020. Statusnya kemudian ditukarkan kepada “tidak lulus” selepas isu itu dilaporkan.