Berita Kesihatan

sarwak

Berita Kesihatan   |   August 24, 2021

Kes kumulatif COVID-19 Sarawak lepasi 100,000

Jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sarawak kini melepasi angka 100,000, dengan 1,543 jangkitan baharu dilaporkan, hari ini.

Sejak kes pertama dikesan di negeri ini pada 13 Mac tahun lalu, jumlah terkumpul jangkitan wabak itu kini sebanyak 101,381 kes.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berkata Kuching terus mencatatkan jumlah tertinggi hari ini dengan 812 kes.

Daerah Subis pula mencatatkan 142 kes, Bau (74), Samarahan (68), Mukah (54), Serian (53), Belaga (49), Sibu (47), Pusa (45), Bintulu (44), Selangau (37), Miri (15), Asajaya (15) dan Saratok (11).

Sebanyak 16 daerah lagi mencatat bawah 10 kes iaitu Song (lapan), Betong (lapan), Simunjan (tujuh), Beluru (tujuh), Tebedu (tujuh), Kapit (enam), Sri Aman (lima), Sarikei (lima), Dalat (empat), Tatau (tiga), Matu (tiga), Lubok Antu (dua), Lawas (dua), Limbang (dua), Kanowit (satu) dan Pakan (satu).

Sembilan daerah iaitu Daro, Meradong, Sebauh, Kabong, Bukit Mabong, Julau, Telang Usan, Tanjung Manis dan Marudi pula sifar kes jangkitan baharu.

Sementara itu katanya, kes baharu mengikut kategori klinikal hari ini menunjukkan sebanyak 1,322 atau 85.68 peratus adalah dalam Kategori 1 iaitu tidak bergejala.

“Sebanyak 219 atau 14.19 peratus lagi dalam Kategori 2 iaitu bergejala ringan, dua kes atau 0.13 peratus pula Kategori 5 iaitu jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.

“Tiada kes bagi Kategori 3 iaitu jangkitan paru-paru dan Kategori 4 iaitu jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen dilaporkan hari ini,” katanya.

Sementara itu, dua kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini iaitu membabitkan dua warga emas iaitu wanita berusia 80 tahun di Hospital Bintulu dan lelaki berusia 75 tahun di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

“Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat pandemik COVID-19 di Sarawak kini seramai 503 orang,” katanya.