Berita warga Afghanistan yang maut selepas jatuh dari kapal terbang AS ketika ia berlepas dari lapangan terbang Kabul baru-baru ini tidak sekadar mengerikan, bahkan tragis.
Menurut agensi berita antarabangsa, salah seorang daripada individu yang maut itu ialah anggota skuad bola sepak kebangsaan Afghanistan.
Memetik agensi berita negara itu Reuters melaporkan, Zaki Anwari berpaut pada badan pesawat udara tentera AS berkenaan dalam usahanya melarikan diri dari negara bergolak itu.
Bagaimanapun dia terjatuh kemudiannya. Tidak dapat dipastikan pada ketinggian berapa Zaki terlepas dari pegangannya dalam kejadian pada 16 Ogos lalu itu.
Kematian pemain bola sepak itu turut disahkan Suruhanjaya Sukan Afghanistan. Dia dikatakan berusia 19 tahun.
Taliban kini menguasai sepenuhnya Afghanistan selepas mereka menguasai Kabul pada 15 Ogos. Kumpulan terbabit sebelum itu sudah mengepung ibu negara Afghanistan itu dan hanya menunggu arahan daripada pemimpin tertinggi mereka untuk masuk.
Presiden Ashraf Ghani yang dilantik mengetuai kerajaan negara berkenaan sejak 29 Sept 2014 melarikan diri ke luar negara sebelum Taliban menguasai Kabul.
Ashraf, 72, merupakan seorang pensyarah universiti di AS sebelum pulang dan terlibat dalam politik serta memenangi pilihan raya Afghanistan.
Dunia dikejutkan dengan klip video yang tular memaparkan ramai warga Afghanistan bertumpu di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai dalam usaha mereka melarikan diri sejurus selepas Taliban secara rasmi menawan negara berkenaan.
Puluhan orang dilihat mengejar pesawat tentera udara AS yang bergerak untuk berlepas, dengan sesetengahnya berpaut pada bahagian luar kapal terbang berkenaan.
Sejurus selepas berada di udara beberapa orang kelihatan terjatuh.
Agensi berita antarabangsa juga melaporkan tentera AS menemui beberapa bahagian anggota badan manusia pada bahagian roda pendaratan kapal terbang.