Barcelona sedia tukar Aubameyang dengan Coutinho
Barcelona akan berbincang dengan Arsenal untuk rundingan bagi mendapatkan kapten pasukan itu, Pierre-Emerick Aubameyang, menurut beberapa laporan.
Difahamkan, kelab Catalan itu bersedia menawarkan Philippe Coutinho sebagai pertukaran untuk mendapatkan penyerang dari Gabon itu.
Menurut akhbar Sepanyol, Sport, Barcelona berminat untuk membawa Aubameyang ke Nou Camp dan menggunakan Coutinho sebagai umpan.
Ini kerana Barcelona yang ketika ini berdepan masalah kewangan tidak mampu untuk membeli penyerang berusia 32 tahun itu dan berharap Coutinho mencukupi untuk memujuk The Gunners.
Coutinho hanya meledak 15 gol dalam 64 penampilan saingan La Liga bersama Barcelona sejak berhijrah dari Liverpool pada Januari 2018.
Namun dia menjadi salah seorang prospek terhangat di Eropah ketika bersama The Reds yang menyaksikan dia menjaringkan 20 gol dalam 45 penampilan terakhir di Liga Perdana Inggeris
Gaji besar Aubameyang sebanyak 350,000 pound (RM2.04 juta) seminggu juga mungkin menjadi punca Arsenal sedia berunding mengenai perkara itu dengan Barcelona.
Khabar angin menyatakan Arsenal sedia melepaskan bintang itu untuk mengurangkan beban kewangan dan membawa masuk pemain yang lebih ekonomi.
Coutinho juga mahukan jumlah gaji yang sama namun Barcelona dilaporkan sedia membayar separuh gajinya untuk melepaskan pemain itu.