PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membekalkan lebih banyak data terperinci berkaitan COVID-19 kepada umum bermula minggu hadapan, bagi meningkatkan lagi ketelusan kementerian itu dalam pemberian maklumat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata data berkenaan akan disiarkan secara terbuka supaya orang ramai dapat melihat lebih banyak data, berbanding yang dibekalkan KKM ketika ini.
“Saya sudah buat ketetapan supaya budaya kerja di KKM selepas ini lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan maklum balas KKM kepada pandemik ini, tiada lagi tuduhan kerahsiaan atau tembok maklumat yang tidak dapat diperoleh dari kerajaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Khairy turut berpuas hati dengan data yang semakin banyak disenaraikan KKM sebagai sumber terbuka.
Sementara itu, Khairy menegaskan, tiada satu pun kes kematian yang menunjukkan ada kaitan kasual secara langsung dengan vaksinasi COVID-19 dan KKM akan mengeluarkan sejumlah data mengenai kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) pada minggu depan.
Katanya, sejak program vaksinasi dilaksanakan bermula 24 Februari sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 34.45 juta dos vaksin sudah diberikan, dengan 20.7 maklum balas AEFI bagi setiap 1,000 dos diterima melalui aplikasi MySejahtera.
Antara kesan sampingan kecil yang paling banyak direkodkan termasuk sakit di bahagian suntikan, pening kelapa dan kelesuan.
“Melalui sistem laporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kadar laporan keseluruhan yang diterima adalah 0.53 dalam 1,000 dos.
“Daripada jumlah ini, 0.04 dalam 1,000 dos yang dilaporkan dikategorikan sebagai AEFI serius, yang majoritinya memerlukan tempoh kemasukan ke wad yang singkat bagi pemantauan dan rawatan,” katanya.