Berita Politik

imigration

Berita Politik   |   September 20, 2021

Sistem Imigresen digodam lagi?

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendedahkan bahawa terdapat manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang melibatkan seramai 21,378 pekerja asing daripada 32,424 kuota yang diwujudkan secara tidak teratur dalam mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Sebanyak RM24 juta terlibat dalam transaksi ini yang sepatutnya disalurkan kepada Pusat Kelulusan Setempat (OSC), Bahagian Pengurusan Pekerja Asing (BPPA) Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebaliknya direkodkan di 10 Bahagian atau Jabatan Imigresen negeri yang tidak mempunyai kuasa.

“Pihak audit meneliti maklum balas daripada Jabatan Imigresen dan berdasarkan analisis terhadap data MyIMMs, berlaku manipulasi dan kemungkinan fraud (manipulasi) dalam sistem MyIMMs bagi kelulusan kuota pekerja asing yang memerlukan siasatan segera diambil,” kata laporan itu seperti yang diumum pada 15 Julai 2019.

Secara amnya, kesan daripada manipulasi itu, sebanyak 21,738 pekerja asing yang sah yang berkerja di Malaysia dibatalkan PLKS atau permit kerja. Sebanyak 123 majikan yang membayar levi bagi pihak pekerja asing terjejas susulan perkara ini.

Sementara itu, pada 30 Oktober 2018, Imigresen membuat kenyataan bahawa Bahagian Perisikan,Operasi Khas dan Analisa (Jabatan Imigresen) telah berjaya ditumpaskan dalam manipulasi atau fraud.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Imigresen membuat satu serbuan pada 29 Oktober, 7.30 malam di kawasan Masjid India berdasarkan maklumat dan intipan yang dilakukan selama tiga bulan.

Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti salah guna sistem Jabatan Imigresen dan juga terlibat dengan aktiviti kuota palsu pekerja asing dan beroperasi hampir lapan tahun.

“Operandi sindiket ini adalah menawarkan khidmat kepada syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan memberikan jaminan bahawa setiap permohonan akan diluluskan,” kata Jabatan Imigresen.

Majikan nafi tak bayar levi

Setiap pekerja yang belum memasuki Malaysia dikenakan bayaran RM7,000. Bagi yang sudah berada di Malaysia bayarannya adalah RM1,500.

Jabatan Imigresen menjelaskan bahawa apabila maklumat pekerja dimasukkan dalam sistem imigresen, maka sindiket ini akan mendapatkan pelekat PLKS melalui MyEG.

Susulan pendedahan Audit Negara, Jabatan Imigresen juga mengesahkan bahawa bakal membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu yang lebih canggih bagi membendung sindiket digodam atau manipulasi.

Dalam satu laporan bertarikh pada 16 Julai 2019 memberitahu bahawa laporan penuh berkaitan sistem Imigresen digodam dihantar kepada ketua pengarahnya Indera Khairul Dzaimee pada 25 April 2019.

Tetapi, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan dakwaan hampir 500 majikan memberitahu bahawa hampir 75,000 pekerja asing dibatalkan PLKS dan Visa Dengan Rujukan (VDR) oleh Imigresen.

Kali ini pekerja asing yang berkerja di Malaysia sejak tahun 2013 dibatalkan PLKS dan VDR selepas Imigresen menerima bayaran levi bagi tahun 2020.

Penulis mendapati bahawa PLKS pekerja-pekerja ini dibatalkan atas alasan majikan tidak membayar levi pada tahun 2013.

Namun, majikan mempunyai bukti bahawa membuat pembayaran sejak tahun 2013.

Jabatan Imigresen atau KDN sehingga kini masih tidak membuat sebarang kenyataan secara umum berhubung pembatalan PLKS 75,000 pekerja asing itu.