Uncategorized

Uncategorized   |   September 29, 2021

Korea Utara dakwa uji peluru berpandu hipersonik

Korea Utara berjaya menguji peluru berpandu hipersonik, sekali gus ia menjadi kemajuan terbaharu dalam teknologi persenjataan negara kuasa nuklear itu.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, pelancaran semalam itu sebagai ‘berkepentingan strategik yang besar’ ketika negara itu berusaha untuk menggandakan keupayaan pertahanan mereka.

Peluru berpandu hipersonik boleh bergerak laju dan lincah dari biasa, menjadikannya sukar untuk dipintas sistem pertahanan peluru berpandu – yang mana Amerika Syarikat (AS) menghabiskan berbilion dolar – untuk memintas.

Menurut KCNA, pelancaran dari wilayah Jagang itu ‘mengesahkan mengenai kawalan navigasi dan kestabilan peluru berpandu’ termasuk ‘kemampuan gerakan pemanduan serta ciri penerbangan meluncur dari kepala peledak hipersonik’.

Tentera Korea Selatan mengumumkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara itu tidak lama selepas ia berlaku semalam, namun ia tidak mendedahkan ketinggian maksimun peluru berpandu itu serta jarak penerbangan yang kebiasaannya didedahkan dalam tempoh kurang sejam.

Media Korea Selatan pula yang memetik sumber tidak dikenal pasti berkata, alat itu menunjukkan ‘ciri penerbangan yang berbeza’ dari pelancaran sebelum ini dan Presiden Moon Jae-in pula menggesa ‘analisa menyeluruh’ mengenai perkara itu.

Kedua-dua negara Korea itu sedang membina keupayaan persenjataan mereka dalam situasi perlumbaan senjata di semenanjung berkenaan.

Korea Utara yang mempunyai keupayaan senjata nuklear menyerang Korea Selatan pada 1950 dan kini berada di pelbagai peringkat sekatan antarabangsa disebabkan program senjata nuklear serta peluru berpandu balistik mereka, malah awal bulan ini didakwa turut menguji peluru berpandu jarak jauh.

Seoul juga membelanjakan berbilion dolar untuk pembangunan ketenteraan dan bulan ini saja berjaya menguji tembakan peluru berpandu dari kapal selam (SBLM) buat pertama kalinya, meletakkan mereka dalam senarai negara berteknologi termaju.

Semalam, mereka mengadakan acara pelancaran kapal selam SLBM ketiga. – AFP