Saingan Liga Super 2021 mencatat peningkatan jumlah tontonan berbanding musim lepas apabila meraih 77.9 juta tontonan bagi kesemua 132 perlawanan disiarkan menerusi platform YouTube rasmi unifi.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu adalah data yang dikumpul sehingga 20 Sept lepas dengan aksi terakhir Liga Super berlangsung pada 12 Sept.
Menurut MFL, jumlah tontonan itu meningkat berbanding 16.2 juta tontonan pada kempen musim 2020 yang hanya melibatkan 66 perlawanan selepas terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh mencabar susulan pandemik COVID-19.
Sementara data bagi 132 perlawanan musim ini yang disiarkan secara langsung menerusi Sports Channel di unifi TV dan unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran RTM TV1 merekodkan 35.8 juta tontonan.
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata peningkatan jumlah tontonan itu membukitkan Liga Malaysia (Liga-M) masih dekat di hati peminat bola sepak tanah air dan mempunyai aura tersendiri.
“Sudah pasti ini satu angka cukup positif dan perkembangan Liga-M khususnya Liga Super 2021 terus diikuti peminat bola sepak di negara ini. Di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda, saingan Liga Super terus rancak dan mendapat perhatian semua,” katanya dalam kenyataan itu.
Ab Ghani turut berterima kasih kepada penyokong dan semua pasukan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam meneruskan saingan, selain penghargaan kepada unifi dan RTM yang memastikan semua penyokong dapat menyaksikan perlawanan ketika larangan penonton ke stadium berkuat kuasa.
Sementara itu, MFL memaklumkan berdasarkan data tersebut, pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 17 Mac menjadi perlawanan dengan jumlah tontonan tertinggi berjumlah 1.71 juta.
Aksi JDT bertemu Terengganu FC juga di Iskandar Puteri pada 24 April menjadi perlawanan dengan jumlah tontonan kedua tertinggi sebanyak 1.69 juta dan ketiga adalah pertembungan Penang FC berdepan JDT di Stadium Bandaraya pada 8 Mei dengan rekod 1.63 juta.
Skuad Harimau Selatan turut mendominasi tiga tontonan siaran langsung tertinggi dengan aksi menentang Terengganu FC di Iskandar Puteri pada 10 Mei merekodkan 698,341 tontonan; 670,706 tontonan ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 4 Mei dan 651,295 tontonan pada pertemuan dengan Selangor FC di Iskandar Puteri pada 17 Mac.
JDT menjadi pasukan paling banyak jumlah tontonan di platform YouTube unifi dengan 22.6 juta, diikuti KDA FC (15.9 juta) dan Penang FC mencatat jumlah 13.2 juta tontonan.